‘Memang ada beza pendapat dengan Anwar antara mahu kekal Sivarasa di Sungai Buloh’ – Rafizi
TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli memaklumkan beliau dan jawatankuasa pemilihan calon parti pada awalnya mencadangkan R.Sivarasa mempertahankan kerusi Parlime Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR mempunyai pendapat berbeza.
“Memang ada perbezaan pendapat di antara jawatan kuasa calon dan saya dengan pandangan presiden, kerana saya boleh umum terus bahawa saya dan jawatankuasa calon mencadangkan supaya Sivarasa dikekalkan tetapi presiden parti ada pandangan berbeza.
“Saya hormati pandangan dan budi bicara tersebut kerana memang kuasa letak calon ialah bidang kuasa presiden dalam mana-mana parti pun.
“Bezanya dalam PKR, proses itu berjalan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
PKR sebelum ini mengumumkan akan meletakkan Timbalan Ketua Penerangannya, Datuk R.Ramanan di kerusi parlimen Sungai Buloh.
Pengumuman tersebut menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ahlinya yang mendesak supaya Sivarasa dikekalkan atau calon lain dipilih, terutama selepas Khairy Jamaluddin dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) di Sungai Buloh.
Rafizi berkata, selepas mempertimbangkan maklum balas yang diterima, PKR membuat keputusan untuk mengekalkan Ramanan sebagai calon di Sungai Buloh.
“Kalau mengikut kepada maklum balas awal daripada pengundi, memang ada feedback supaya dipertimbangkan calon tetapi saya menghormati keputusan presiden yang merasakan bahawa lebih baik dikekalkan calon supaya kempen yang sedang berjalan ini boleh diteruskan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Rafizi berkata, setakat yang diketahuinya, proses dalaman parti dalam meneliti dan membuat semakan terhadap calon sudah berakhir.
“Saya perlu mengimbangi antara cuba menguruskan maklum balas serta proses dalaman, dengan fakta bahawa keputusan muktamad di tangan Anwar dan dia telah mengemukakan pandangannya.
“Saya fikir kita harus bergerak sebagai sebuah parti dan memberi tumpuan kepada gambaran keseluruhan kempen,” katanya.
Pada PRU14 Sivarasa meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari PAS yang memperoleh 16,977 undi, A Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (642).
Secara tradisi kerusi Sungai Buloh ditandingi oleh MIC namun parti itu kalah kepada PKR tiga penggal berturut-turut. – Malaysiapost