Habibah ganti Noh, dua bekas pemimpin PAS jadi calon BN

Habibah ganti Noh, dua bekas pemimpin PAS jadi calon BN

PENGERUSI Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar digugurkan daripada calon Barisan Nasional (BN) bertanding di Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. 

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mengumumkan Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof menjadi sandaran BN kali ini untuk mempertahankan kerusi yang merupakan kubu kuat gabungan itu di Selangor. 

Zambry turut mengumumkan dua bekas pemimpin PAS bertanding atas tiket BN pada PRU15 ini. 

Datuk Dr Khairuddin Aman Razali akan mempertahankan Parlimen Kuala Nerus yang beliau menang atas tiket PAS pada pilihan raya umum lalu. 

Manakala Che Abdullah Mat Nawi diumumkan sebagai calon BN bertanding di Parlimen Tumpat. 

“Dua kawasan iaitu Tumpat dan Kuala Nerus menyaksikan, Barisan Nasional menampilkan dua calon secara direct candidate atas sifat keterbukaan dan perpaduan,” katanya dalam kenyataan, malam ini. 

Bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, BN mempertaruhkan calon MCA Chew Yin Keen, manakala G.Kohilan Pillay diumumkan menjadi calon BN di Parlimen Batu. 

BN turut mengetengahkan muka baru di Parlimen Jempol dan Kuala Pilah iaitu Datuk Shamsulkahar Mohd Deli dan Datuk Adnan Abu Hasan. 

“Dengan pengumuman ini, ia menjadikan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh Barisan Nasional bagi kawasan Parlimen adalah sebanyak 178.

“Barisan Nasional yakin calon-calon yang dikemukakan dengan pelbagai latar belakang dan kelayakan, In Shah Allah mampu untuk menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak,” katanya. -Malaysiapost

Komen