PAS tak letak calon di Sabah
PAS Sabah memutuskan tidak meletakkan calon untuk bertanding pada pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri itu.
Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat khas Perhubungan PAS Negeri Sabah (PPNS), semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata, PAS Sabah akan menyokong semua calon yang mewakili parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
“Hasil perbincangan dengan kepimpinan utama PAS Pusat dan dipersetujui dalam mesyuarat khas PPNS pada malam ini, PAS Sabah mengambil beberapa keputusan penting.
“Pertama, PAS Sabah tidak meletakkan calon untuk bertanding pada PRU15 di Sabah.
“Kedua, semua ahli dan penyokong PAS diarahkan membantu serta mengundi semua calon yang mewakili parti GRS-BN sebagai tanda mendokong prinsip penyatuan nasional yang digagaskan oleh PAS,” katanya dalam kenyataan.
PAS buat pertama kali mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berikutan pelantikan Aliakbar sebagai ADUN Dilantik sejak 2020.
Pelantikan itu adalah atas kapasiti PAS sebagai rakan komponen Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu yang menjadi sebahagian daripada GRS. – Malaysiapost