Peluang terbaik rampas kerusi DUN Ketari
Ben Ibrahim
PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah peluang terbaik untuk Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi DUN Ketari daripada DAP.
Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam berkata walaupun dianggap kerusi ‘heavy weight’ kerana disandang DAP sejak dua penggal lalu, namun dia yakin ruang untuk memberi saingan kepada calon parti lain tetap ada.
“Kita melihat kepada peluang yang terbuka untuk kerusi Ketari dalam pilihan raya kali ini, jadi saya fikir sudah sampai masa untuk kita mengambil semula daripada DAP.
“Mereka (DAP) juga meletakkan calon dari luar Pahang di situ dan saya fikir pengundi boleh menilai (tindakan) dibuat DAP dalam pemilihan calon.
“Bagi saya, keputusan memilih calon luar secara tidak langsung menggambarkan seolah-olah parti itu menjadikan Ketari sebagai tempat ‘persinggahan’ saja,” katanya ketika ditemui di Kuantan.
Sebelum ini, kerusi DUN Ketari disandang Ketua Angkatan Muda Pakatan Harapan (PH), Young Syefura Othman.
Young Syefura memenangi kerusi itu pada PRU13 dan PRU14 sebelum dicalonkan untuk kerusi parlimen Bentong dalam PRU15.
Dalam PRU14, Young Syefura memenangi kerusi DUN Ketari dengan jumlah majoriti 3,710, menewaskan calon daripada PAS dan BN.
Untuk PRU15, DAP meletakkan ahli jawatankuasa pusat parti itu, Thomas Su bagi mempertahankan kerusi berkenaan.
Ditanya mengenai jumlah terkini pengundi di kawasan itu pula, Amizar berkata, terdapat kira-kira 6,000 pengundi baru, termasuk mereka berusia 18 tahun.
“Kalau dulu terdapat sekitar 19,000 pengundi, jadi ditambah dengan pengundi baru, jumlahnya hampir 25,000 dan boleh dikatakan mereka (pengundi baru) inilah yang sangat penting dalam menentukan kemenangan calon yang bertanding.
“Kita tidak menolak kemungkinan suasana dan sentimen untuk PRU15 dan PRU14 berbeza, jadi saya nampak BN mempunyai peluang untuk memberikan cabaran,” katanya. – Malaysiapost