PN Pahang tak tawar kerusi kepada bekas wakil rakyat yang digugurkan
Ben Ibrahim
PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen yang digugurkan daripada menjadi calon oleh parti lain tidak akan ditawarkan kerusi oleh Perikatan Nasional (PN) Pahang.
Pengerusinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikiran dan tidak pernah dibincangkan dalam kalangan pimpinan PN negeri.
“Situasi di Pahang mungkin tidak sama dengan tempat (negeri) lain kerana kita sudah tetapkan calon daripada PN Pahang sendiri untuk bertanding di semua kerusi DUN dan parlimen.
“Namun, perkara itu kita serahkan kepada Majlis Tertinggi PN Pusat, kalau mereka ada fikirkan mengenai perkara itu, kita akan bincangkan kemudian,” katanya dalam sidang media di Kuantan, malam tadi.
Terdahulu, Saifuddin melancarkan jentera pilihan raya PN Indera Mahkota dan majlis turut dihadiri calon PAS yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu.
Pada majlis sama, calon PN bagi DUN Semambu, Zulfadli Zakariah turut diperkenalkan kepada jentera pilihan raya PN Indera Mahkota.
Saifuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan beberapa kerusi PN Pahang akan ditawarkan kepada bekas penyandang kerusi parlimen dan DUN Pahang yang digugurkan parti mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Antara nama besar dalam Umno yang tidak tercalon adalah bekas ahli parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib dan bekas EXCO Pahang yang juga penyandang kerusi DUN Guai, Datuk Norolazali Sulaiman.
Dalam pada itu, Saifuddin yang akan mempertahankan kerusi parlimen Indera Mahkota berkata, beliau menerima baik pengumuman Barisan Nasional (BN) meletakkan calon daripada MCA untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Katanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, pertandingan itu membuktikan semua parti masih yakin dengan sistem pemilihan kerajaan melalui pilihan raya.
“Cuma saya harap pertandingan kali ini berlangsung dengan sihat dan tidak berlaku penyebaran fitnah atau menyerang peribadi antara calon sepanjang tempoh berkempen,” katanya. – Malaysiapost