PRU15: ‘Ada orang Umno sendiri mahu kecilkan kemenangan BN’ – Abdul Hadi
PAS mendakwa ada segelintir ahli Umno yang mahu mengecilkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dakwa Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tindakan itu bagi membesarkan peluang menang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memaksa BN bergabung dengan PH selepas PRU15 nanti.
“Kita dapat maklumat, ada kalangan orang Umno yang mahu mengecilkan kemenangan Umno (BN) dan membesarkan kemenangan PH supaya boleh bergabung dengan PH dengan tujuan untuk membebaskan diri bukan untuk jaga rakyat.
“Kita tegas tidak akan bersama PH,” katanya pada sidang media ketika menghadiri majlis pengumuman calon-calon Perikatan Nasional (PN) Kedah di Alor Setar, malam tadi.
Abdul Hadi berkata, bagaimanapun ramai dalam kalangan Umno yang tak bersetuju dengan PH, dan disebabkan itu ada dibuat janji supaya menyokong pemimpin yang mahu bergabung dengan PH.
“Sehingga hari ini, mereka gagal menarik Umno ke dalam khemah besar nak gulingkan kerajaan PN gagal. Guling kerajaan Perak, tak boleh tubuh kerajaan (BN-PH), itu. Itu tanda aras yang boleh dibaca dengan jelas,” katanya.
Jelas Abdul Hadi, PN menawarkan untuk menegakkan kerajaan yang bertemakan bersih dan stabil atau singkatannya ‘BEST’ sebagaimana telah dibuktikan ketika pemerintahan sebelum ini.
Beliau berkata, pemerintahan tersebut telah berjaya mewujudkan kestabilan termasuk di negeri yang diperintah dan PN tetap mengalu-alukan sebarang pihak untuk menyokong dan bersama gabungan itu.
Mengulas keyakinan memenangi PRU kali ini, katanya, kemenangan adalah tidak mustahil, namun menyedari ia tidak mudah selain sangat mencabar.
Ditanya jika PAS bersetuju mencalonkan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai calon PN bagi Parlimen Arau, Abdul Hadi meminta semua pihak menunggu sehingga penamaan calon dan menyifatkan politik sebagai dinamik.
“(Kita nak) calon yang boleh menang dan dia boleh berubah sepanjang masa. Belum dapat nama, baca berita sahaja. Tengok hari penamaan calon nanti,” katanya.
Terdahulu, Shahidan yang juga penyandang kerusi parlimen Arau nekad untuk terus bertanding pada PRU15 walaupun tidak dinamakan sebagai calon BN kali ini. – Malaysiapost