PRU15: Asyraf Wajdi sedia curah khidmat, kudrat buat rakyat Gerik

PRU15: Asyraf Wajdi sedia curah khidmat, kudrat buat rakyat Gerik

CALON Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Gerik, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki komited untuk memberi khidmat terbaik kepada penduduk kawasan itu sekiranya mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menerusi hantaran di Facebooknya, Asyraf Wajdi dilihat menyantuni masyarakat kawasan itu seawal subuh pagi tadi untuk bersolat jemaah bersama penduduk di Masjid Jamek, Pekan Gerik.

Malah, Ketua Pemuda Umno itu tidak melepaskan peluang menyantuni penduduk setempat dengan bersarapan bersama di Kedai Cop, Kampung Air Suda, Pekan Gerik Barat, Perak.

“Pagi ini bermula solat Subuh berjemaah bersama penduduk tempatan di Masjid Jamek, Pekan Gerik.

“Kemudian bersarapan di Kedai Cop, Kg. Air Suda, Pekan Gerik Barat bersama-sama penduduk tempatan. Sempat juga beramah mesra, bertanya khabar masyarakat tempatan yang sedang bersarapan di sekitar Pekan Gerik.

“InsyaAllah, jika diberi peluang menjadi Ahli Parlimen Gerik, akan menaburkan segala khidmat dan kudrat saya buat rakyat di Gerik,” katanya.

Pada PRU15 kali ini, Asyraf Wajdi beralih kerusi dari Parlimen Pasir Puteh di Kelantan ke Parlimen Gerik di Perak.

Pencalonan Asyraf Wajdi itu diumum Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengenalan calon Barisan Nasional (BN), malam kelmarin.

Asyraf Wajdi dijangka berpotensi untuk menang di kerusi berkenaan memandangkan Parlimen Gerik dianggap kubu kuat BN.

Kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 2020. – Malaysiapost

Komen