PRU15: ‘Jangan amalkan budaya caci, keji dan hina lawan politik’ – Khairuddin

PRU15: ‘Jangan amalkan budaya caci, keji dan hina lawan politik’ – Khairuddin

PENYANDANG kerusi Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, menyeru calon dan jentera kempen parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menampilkan akhlak Islam yang tinggi.

Serentak itu, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS turut mengingatkan supaya mereka menggunakan bahasa yang baik dan meninggalkan budaya mencaci, mengeji serta menghina saingan politik.

Menurutnya, setiap calon perlu memfokuskan kepada menyampaikan fakta dan membentangkan kelebihan manifesto masing-masing.

“Tampilkan budaya dan ibadah berkebajikan dengan tidak menyerang saingan politik dengan tuduhan. 

“Ini kerana rakyat generasi baru lebih cintakan kedamaian politik berbanding perbalahan dan pertembungan.

“Kekal bersaudara meski berbeza,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mohd Khairuddin yang keluar daripada PAS dijangka bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Jangkaan itu dilihat semakin jelas apabila Umno dikatakan bakal mengadakan majlis khas sempena penyertaan beliau sebagai ahli baharu parti itu.

Majlis berkenaan dikatakan akan berlangsung sebelum hari penamaan calon Sabtu ini, namun belum dapat dipastikan sama ada di Kuala Nerus atau Kuala Lumpur. – Malaysiapost

Komen