PRU15: Ucapan ‘bye-bye KJ’ cetus tanda tanya

PRU15: Ucapan ‘bye-bye KJ’ cetus tanda tanya

UCAPAN ‘bye-bye KJ’ yang ditulis Datuk Seri Shahidan Kassim pada ruangan komen hantaran Facebook Khairy Jamaluddin malam tadi, menarik perhatian warga netizen dan pengikut media sosial Menteri Kesihatan itu.

Walaupun tidak dipastikan maksud hantaran berkenaan, namun ada menganggap komen Shahidan itu berkemungkinan memberi bayangan bahawa Khairy akan menemui ‘jalan sukar’ atau ‘tumbang’ di Sungai Buloh memandangkan kawasan itu merupakan kubu kuat PKR.

Hantaran Facebook Khairy itu, bagi menjemput orang ramai menyertai pasukan Sukarelawan #TeamKJ di Parlimen P107 Sungai Buloh.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, PH menang besar di kerusi berkenaan dengan lebih 26,000 undi majoriti.

Semalam, Khairy juga mengakui gemuruh untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh yang merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

Penyandang kerusi Rembau itu berkata, BN tewas dengan majoriti 20,000 di kawasan itu pada 2018 namun menganggap hal itu sebagai cabaran buat dirinya menawan kembali kerusi tersebut.

Menurutnya, walaupun menang tiga penggal di Rembau namun dirinya adalah calon ‘underdog’ di Sungai Buloh dan perlu bekerja keras untuk mencapai kemenangan.

Dalam pada itu, ada mendakwa ucapan ‘bye-bye KJ’ itu menguatkan spekulasi bahawa Shahidan akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Arau pada PRU15.

Sebelum ini, penyandang kerusi Parlimen Arau yang digugurkan BN daripada pencalonan PRU15, mengesahkan akan meneruskan hasrat bertanding.

Shahidan berkata, tindakan berkenaan dilakukan selepas kelima-lima nama ‘calon boleh menang’ yang dicadangkan ke pusat tidak diambil peduli oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya akan bertanding kerana disebabkan faktor ‘calon boleh menang’. Maka disebabkan itulah saya akan terus bertanding.

“Bertanding atas tiket apa, saya akan tanya cawangan tetapi mereka lebih pilih parti yang bergerak ke arah Muafakat Nasional bersama PAS dan Bersatu,” katanya. – Malaysiapost

Komen