Rafizi perlu jelaskan punca kekayaan dimiliki dalam masa singkat, kata Razlan

Rafizi perlu jelaskan punca kekayaan dimiliki dalam masa singkat, kata Razlan

Aiman Hanif

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Razlan Rafii menyifatkan kekayaan yang dimiliki Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam tempoh singkat adalah mencurigakan.

Oleh itu katanya, bukan saja Rafizi perlu memberi penjelasan terperinci, malah siasatan juga perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengetahui punca kekayaan pemimpin PKR itu.

“Kita nak tanya Rafizi tentang aset yang didedahkan yang bernilai hampir RM19 juta dan ianya jumlah yang besar bagi orang politik dan orang telah berhenti kerja dalam bidang profesional.

“Saya tak pasti gajinya dengan Petronas dulu berapa, kalau RM200,000 (sebulan), RM18 juta dalam masa Lima tahun itu sesuatu yang menakjubkan, apatah lagi kita tahu Rafizi tak pandai meniaga. Ada tuduhan dua syarikat yang beliau uruskan termasuklah Invoke mengalami kerugian.

“Dan kita percaya Rafizi ini kerjanya mengutip sumbangan rakyat, melalui NGO dan syarikatnya. Rafizi perlu jelaskan perkara ini dan saya minta SPRM siasat hasil yang beliau dapat RM19 juta itu,” katanya kepada Malaysiapost.

Semalam, Rafizi yang juga calon PKR bagi Parlimen Pandan mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Pengisytiharan itu dibuat susulan syarat PKR supaya calonnya dalam pilihan raya umum 19 November ini berbuat demikian.

Berdasarkan pengisythiran yang dibuat Rafizi, kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke Sdn Bhd, syarikat tinjauan awam yang diasaskannya.

Jumlah ini, termasuk pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan polisi insuran di Prudental.

Dalam pada itu Razlan membidas Rafizi yang melabur dalam Boustead, namun dalam masa sama menyerang isu pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang dibangunkan Boustead.

“LCS ini dibangunkan oleh Boustead, satu-satunya syarikat yang dia (Rafizi) laburkan (dalam pengisytiharan harta) adalah dalam Boustead.

“Dalam masa dia menuduh pelbagai salah laku dalam Boustead, dia mengambil keputusan untuk melabur dengan Boustead, jadi Rafizi kena jelaskanlah,” katanya lagi.

Komen