Rosol calon tunggal Bersatu di Terengganu
PENYANDANG kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menjadi calon tunggal daripada Bersatu yang bertanding di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pencalonan itu disahkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Jelajah Prihatin dan Pelancaran Jentera PN PRU15 di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, malam tadi.
“Calon yang bertanding, tidak lain tidak bukan ialah saudara (Datuk) Rosol Wahid untuk Hulu Terengganu.
“Ini saya isytiharkan dulu fasal beliau adalah calon Bersatu. InsyaAllah, Hulu Terengganu kekal dimenangi PN,” katanya.
PN Terengganu dijangka mengumumkan calon untuk bertanding di lapan kerusi Parlimen negeri itu, malam ini.
PAS akan bertanding di tujuh kerusi membabitkan Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Setiu, Kemaman dan Besut, manakala Bersatu pula di Hulu Terengganu.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, meminta seluruh jentera PN berusaha sedaya mungkin untuk memberi kefahaman betul kepada orang Melayu supaya membuat pilihan tepat pada PRU15.
“Ia adalah suatu jihad yang perlu diteruskan supaya rakyat tidak membuat keputusan salah dengan menyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost