Saya tidak tanda tangan akujanji ‘letter head’ Umno – KJ
MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan beliau tidak ada menandatangani akujanji menggunakan kepala surat logo Umno seperti yang ditularkan sejak semalam.
Khairy berkata, beliau hanya menandatangani akujanji dengan kepala surat logo BN yang perlu dilakukan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15).
Calon BN Parlimen Sungai Buloh itu berkata, surat akujanji tular yang kononnya ditandatangi oleh Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah adalah tidak benar kerana di atas kepala surat itu tertera logo Umno.
“Pertama kita bertanding atas tiket BN dan semua calon perlu tandatangan aku janji yang mempunyai ‘letter head’ BN yang ada kaitan dengan lompat parti dan kesetiaan kepada parti.
“Saya tidak tanda tangan aku janji ‘letter head’ Umno seperti yang ditularkan dan calon PM kita tetapkan adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Nokhtah. Itu pendirian BN seperti yang telah diumumkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Semalam, Shamsul Anuar menafikan wujudnya dokumen akujanji yang didakwa perlu ditandatangani calon Umno dan BN yang bertanding pada PRU15.
Shamsul Anuar menegaskan, penyebaran dokumen palsu itu adalah usaha jahat pihak tidak bertanggungjawab dan jelas sebagai perancangan memburukkan Umno dan BN ketika musim PRU. – Malaysiapost