‘Semua pemimpin Umno rapatkan saf masuk sebagai satu tim BN’ – Mahdzir
NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru pemimpin parti itu di semua peringkat termasuk Parlimen agar terus berada dalam saf kepimpinan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas ‘tim’ Barisan Nasional (BN).
Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, berkata menjadi perkara biasa tiap kali PRU diadakan akan ada nama baharu dan pemimpin baharu yang dicalon untuk bertanding.
Katanya, malah ada juga pemimpin lama yang dikekalkan sebagai calon bertanding serta ada di antara mereka yang tidak disenaraikan.
“Saya menyeru semua pemimpin BN dapat merapatkan saf dan masuk dalam PRU15 sebagai 1 tim BN,” katanya kepada media di Kuala Nerang hari ini.
Ditanya mengenai isu pemimpin Umno yang tidak berpuas hati dengan senarai nama calon BN, Mahdzir berkata perkara utama adalah fokus kepada PRU15.
“Perkara sudah berlalu, saya harap kita berada dalam saf kepimpinan tanpa memikirkan perkara yang boleh menjejaskan BN sendiri,” tegasnya.
Kelmarin, empat menteri Kabinet BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, digugurkan sebagai calon PRU15.
Mereka antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Keterah), Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara); dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).
Media melaporkan Shahidan tetap mahu bertanding walaupun perlu menggunakan tiket parti lain.
Beliau membuat keputusan itu selepas kecewa dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mencalonkannya semula di kerusi parlimen Arau. – Malaysiapost