Sengaja nak burukkan Ahmad Zahid – Reezal Merican

Sengaja nak burukkan Ahmad Zahid – Reezal Merican

PIHAK-PIHAK tertentu sengaja mencetuskan dakwaan tidak berasas bagi memburukkan imej Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. 

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, calon BN yang bertanding hanya menandatangani surat yang meminta calon bertanding mesti bertanggungjawab dan amanah ketika menggalas nama parti. 

“Saya rasa ada tuduhan-tuduhan liar. Ada yang nak menggambarkan Datuk Seri Zahid ni jahat sangat. Dan saya rasa itu fitnah,” katanya kepada media di Kepala Batas, hari ini. 

Reezal yang merupakan calon BN di Parlimen Kepala Batas itu menafikan tiada ‘surat akujanji’ seperti yang tular di media sosial ketika ini.

“Tak betul, tak betul, ini penipuan (surat akujanji). Saya sign surat yang saya sign ialah surat yang minta bahawa yang saya bertanding itu dan saya kena ada tanggungjawab pada parti saya. 

“Sebab kita dah buat undang-undang anti lompat parti tetapi tak buat pindaan pada perlembagaan, maka ianya perlu diikat kepada akujanji. Dan saya rasa itu adalah wajar untuk diri saya sendiri.

“Dalam soal akujanji ni saya tak boleh lari daripada meletakkan amanah bahawa parti saya ini adalah sandaran. Seandainya saya melakukannya, parti saya berhak untuk mengambil kerusi saya itu,” katanya.

Petang tadi, BN telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung surat akujanji palsu kononnya ditandatangani oleh Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah pada 30 Oktober 2022 yang mengandungi ikrar calon untuk  menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri. 

“Saya rasa dalam pilihan raya kali ini biarlah kita bertanding dengan cara atas landasan kebenaran, selepas itu rakyat boleh nilai,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu. -Malaysiapost

Komen