SPRM buka kertas siasatan teliti surat akujanji sokong Zahid jadi PM
SURUHANJAYA Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan untuk meneliti surat aku janji yang didakwa menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata agensi itu telah menerima laporan mengenai perkara terbabit.
“Kami telah menerima aduan mengenai surat tersebut dan dakwaan itu.
“SPRM akan membuka kertas siasatan supaya perkara itu dapat diteliti,” katanya memetik laporan The Star hari ini.
Azam berkata, siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana salah guna kuasa.
Mengulas lanjut, Azam tidak menolak kemungkinan memanggil individu tertentu untuk direkodkan kenyataan mereka.
“Biar pegawai saya yang tentukan siapa yang perlu dihubungi. Mereka akan berbuat demikian selepas melihat dokumen yang telah diserahkan kepada mereka,” katanya.
Semalam, tular satu kenyataan yang memaparkan ikrar yang dibuat oleh Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Kandungan kenyataan tersebut antara lain di mana beliau berjanji untuk menyokong Ahmad Zahid, yang merupakan Presiden Umno, sebagai Perdana Menteri.
Ikrar itu, yang didakwa ditandatangani oleh Shamsul Anuar, berjanji untuk memberi jawatan Kabinet utama dan pelantikan politik kepada Ahli Parlimen Umno, serta menggugurkan pertuduhan mahkamah membabitkan pemimpin tertinggi parti. – Malaysiapost