‘Sudah tiba masa Kuala Selangor serlah potensi sebenarnya’ – Tengku Zafrul

‘Sudah tiba masa Kuala Selangor serlah potensi sebenarnya’ – Tengku Zafrul

DATUK Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berjanji menekankan konsep ‘dengar’, ‘hayati’, dan ‘selesaikan’ jika dipilih pengundi Kuala Selangor pada  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Kewangan itu yang dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Selangor, berkata beliau akan sedaya upaya membantu masyarakat di kawasan itu agar kemakmuran berjaya ditingkatkan lagi bagi keselesaan dan kesejahteraan penduduk Kuala Selangor.

“Ramai yang sudah berkongsi kepada saya hasrat mereka, InsyaAllah saya yakin mampu melaksanakannya.

“Baik dari segi kebajikan, pendidikan, perniagaan mahupun peluang pekerjaan kepada setiap segenap lapisan masyarakat terutama belia.

“Sudah tiba masa Kuala Selangor menyerlahkan potensi sebenarnya,” katanya dalam video dimuat naik di Facebook, hari ini.

Tengku Zafrul juga berterima kasih kepada kepimpinan BN atas kepercayaan yang diberikan kepadanya dan menerima amanah tersebut dengan rendah hati.

Katanya, sekiranya dipilih pada PRU15, beliau telah bersiap sedia menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen sebaik mungkin untuk rakyat Kuala Selangor.

Dalam masa sama, beliau yakin jentera BN Kuala Selangor sudah bersedia untuk kembali menerima mandat dari rakyat.

“Tugas sudah bermula kita gandakan usaha agar memenangi hati dan kepercayaan serta keyakinan rakyat Kuala Selangor,” ujarnya. – Malaysiapost

Komen