Sungai Buloh ini bukan kelabu tapi gelap gelita macam saya – KJ

Sungai Buloh ini bukan kelabu tapi gelap gelita macam saya – KJ

KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar mengakui Parlimen Sungai Buloh merupakan kerusi berstatus ‘gelap gelita’ bagi Barisan Nasional (BN) berikutan menjadi kubu kuat pembangkang yang telah memenanginya tiga kali berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum 2008.

Mengakui sebagai calon ‘underdog’, beliau bertekad tidak akan membiarkan Parlimen Sungai Buloh tumbang buat kali keempat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di tangan Pakatan Harapan (PH).

“Sungai Buloh ini bukan kawasan putih, bukan kelabu juga. Ini kawasan gelap gelita macam saya juga,” selorohnya ketika berucap pada majlis memperkenalkan beliau kepada jentera BN Sungai Buloh di Kota Damansara, malam tadi.

Khairy yang merupakan Menteri Kesihatan tidak mempertahankan Parlimen Rembau yang beliau sandang sejak pilihan raya umum 2008.

Beliau telah memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di kerusi berkenaan pada PRU15 ini. 

“Saya tinggalkan kawasan Rembau yang saya menang tiga kali berturut-turut. Tak ada orang yang waras yang tinggalkan kawasan yang dia menang tiga kali berturut-turut dan datang ke kawasan yang kita kalah tiga kali berturut-turut. Tapi saya masih waras,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh kira-kira 3,000 penyokong BN yang hadir. 

Dalam ucapannya, Khairy turut menceritakan kronologi bagaimana beliau bertemu ‘jodoh’ untuk bertanding di Sungai Buloh. 

“Saya berterima kasih kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar. Apabila saya diminta bagi laluan di Rembau, saya dapat panggilan daripada Tan Sri Noh yang minta saya datang tanding di Selangor.

“Kata Noh, Selangor ni dah tiga kali kalah malah tak ada siapa berani datang tanding. Tiada menteri yang nak bantu BN di Selangor. Tapi dia tak sebut nama Sungai Buloh, Noh kemukakan macam menu kawasan-kawasan untuk saya pilih.

“Semua kawasan gelap, hitam legam, gelap gelita macam saya. Namun, Setiausaha Politik saya, Datuk Megat Firdouz Megat Junid yakinkan saya untuk tanding sini. Takkanlah dia nak kerat saya, kalau saya kalah dia pun tak ada kerja,” katanya. 

Pada masa sama, bekas Ketua Pemuda Umno itu menasihatkan jentera BN berkempen secara ‘gentlemen’ dan tidak sesekali menyerang peribadi lawan.

“Saya tak kisah parti lain nak tukar calon atau apa, itu urusan parti mereka. Saya buat kerja saya untuk tawan hati pengundi di sini.

“Di sini juga saya akan bertembung dengan calon PAS, saya akan berlawan secara sihat, saya mahu kita (jentera BN) jadi orang baik,” katanya. -Malaysiapost

Kredit foto FB Friends of Khairy Jamaluddin

Komen