Surat Akujanji: BN buat laporan polis
SATU laporan polis telah dilaporkan hari ini berhubung ‘Surat Akujanji’ yang menyokong Presiden Umno menjadi Perdana Menteri.
Laporan polis telah dibuat oleh Datuk Azizan Md Zain di Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, kira-kira 3.45 petang tadi.
“Saya bersama rakan-rakan hadir ke Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur membuat satu laporan polis tentang surat aku janji yang ditularkan di Facebook.
“Tujuan saya membuat laporan polis adalah untu menyatakan kepada rakyat Malaysia bahawa Surat Akujanji tersebut adalah fitnah terhadap Umno-BN dan bertujuan untuk menjatuhkan imej Barisan Nasional dan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah ,” katanya pada sidang media sebaik sahaja selesai membuat laporan.
Azizan yang merupakan pegawai khas kepada Shamsul Anuar berkata, pihaknya menggesa siasatan menyeluruh segera dilakukan terhadap pihak yang bertanggungjawab mencipta serta menyebarkan Surat Akujanji Palsu sekaligus mengheret mereka ke muka keadilan.
Terdahulu, satu akaun Facebook menggunakan nama Fadzil Haji Aziz memuatnaik dan memaparkan Surat Akujanji dengan kenyataan ‘Bukti..Nak jadi calon BN, wajib sokong Zahid jadi PM..’
Surat Akujanji tersebut kononnya ditandatangani oleh Shamsul Anuar pada 30 Oktober 2022 yang turut mengandungi ikrar calon untuk menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri. -Malaysiapost