Surat akujanji: Saya akan dilaknat tuhan kalau saya tipu – Reezal Merican

Surat akujanji: Saya akan dilaknat tuhan kalau saya tipu – Reezal Merican

CALON Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menafi sekeras-kerasnya wujud ‘surat akujanji’ Umno seperti yang tular di media sosial ketika ini. 

Malah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berani mengakui dirinya akan dilaknat tuhan sekiranya berbohong mengenai perkara itu. 

Jelasnya, tiada surat akujanji yang ditandatangani setiap calon BN berkenaan ikrar yang mewajibkan menyokong Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. 

“Tak pernah satu ayat pun Datuk Seri Zahid kata tandatangan Reezal, you nak jadi calon you make sure kata you sokong i jadi Perdana Menteri. 

“Saya dilaknat tuhan kalau saya tipu. Saya kena sebut ayat ni, memang keras. Tapi apa lagi yang saya nak yakinkan. 

“Ini fitnah, boleh tanya semua calon. Tanyalah, kot-kot adalah yang mengatakan, pergi tanya betul ke tidak,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyampaian watikah calon BN Pulau Pinang, di Kepala Batas, hari ini.

Terdahulu, satu akaun Facebook menggunakan nama Fadzil Haji Aziz memuatnaik dan memaparkan Surat Akujanji dengan kenyataan ‘Bukti..Nak jadi calon BN, wajib sokong Zahid jadi PM..’

Surat Akujanji tersebut kononnya ditandatangani oleh Shamsul Anuar pada 30 Oktober 2022 yang turut mengandungi ikrar calon untuk  menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri. -Malaysiapost

Komen