Teka-teki terjawab, sah Che Abdullah calon BN Parlimen Tumpat

Teka-teki terjawab, sah Che Abdullah calon BN Parlimen Tumpat

TEKA-TEKI calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tumpat akhirnya terjawab apabila parti itu mengesahkan untuk mengekalkan peyandangnya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi bertanding menggunakan tiket gabungan itu.

Pengerusi Badan Perhubungan BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata BN memberi laluan kepada Che Abdullah kerana dianggap sebagai calon boleh menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Teka teki sudah terjawab dan Che Abdullah akan bertanding atas tiket BN di Parlimen Tumpat. Kita rasa satu kelegaan apabila Che Abdullah bersetuju dengan tawaran yang diberikan.

“Malah, akar umbi Umno Bahagian Tumpat juga menerima baik kehadiran Che Abdullah,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, pihaknya akan memberi saingan sengit kepada Perikatan Nasional (PN) di Parlimen berkenaan.

“Kita akui kita menawarkan kerusi berkenaan kepada Che Abdullah dan BN memang mengadakan pertemuan dengan beliau,” katanya.

Terdahulu, pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Kelantan malam tadi, penyandang Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan penyandang Parlimen Tumpat, Che Abdullah digugurkan daripada calon PN PRU15.

Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata Parlimen Bachok menyaksikan PN meletakkan muka baru, Muhamad Shahir Che Sulaiman sebagai calon.

Manakala, bagi kerusi Parlimen Tumpat, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan EXCO Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi sebagai calon di kerusi berkenaan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Che Abdullah Mat Nawi – DCL

Komen