‘Tiada isu matikan legasi Nik Aziz’ – Tuan Ibrahim

‘Tiada isu matikan legasi Nik Aziz’ – Tuan Ibrahim

KEPUTUSAN PAS tidak mencalonkan penyandang Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan untuk mematikan legasi Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti tidak mengenepikan Nik Mohamad Abduh, sebaliknya beliau sukarela menyerahkan kerusi tersebut kepada muka baharu.

Menurutnya, isu mematikan legasi Nik Aziz atau Allahyarham Tok Guru itu tidak benar sama sekali kerana ia bukan bersifat individu, sebaliknya melibatkan dasar yang mahu diperjuangkan.

“Segala dasar polisi Tok Guru Nik kita akan teruskan. Justeru tidak timbul isu boikot di Parlimen berkenaan.

“Sepanjang tempoh berkempen, insyaAllah beliau (Nik Mohamad Abduh) akan membantu calon baharu di Parlimen berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengisytiharan Calon PRU15 Perikatan Nasional (PN) Kelantan di Stadium Sultan Muhamamd IV, Kota Bharu, malam tadi.

Beliau diminta mengulas berhubung Nik Mohamad Abduh yang digugurkan dari calon PN pada PRU15.

Terdahulu, penyandang Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh dan penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi digugurkan daripada calon PN di Kelantan pada PRU15.

Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, Parlimen Bachok menyaksikan PN meletakkan muka baharu, Muhammad Shahir sebagai calon di Parlimen berkenaan.

Manakala Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi sebagai calon di Parlimen Tumpat. – Malaysiapost

Komen