Tiada yang akan terpinggir di Sungai Buloh – KJ
MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin berikrar memastikan tiada penduduk di Sungai Buloh akan terpinggir sekiranya diberi mandat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRu15).
Sehubungan itu, calon kerusi Sungai Buloh itu merayu pengundi memberinya peluang melaksanakan pembaharuan terutama aspek penambahbaikan kehidupan rakyat di bandar.
“Sungai Buloh memerlukan tawaran baru untuk menyelesaikan isu yang dihadapi oleh orang bandar.
“Demografi kawasan itu hampir mirip dengan komposisi seluruh kaum di Malaysia dan saya bersedia untuk menjadi pemimpin kepada semua,” katanya menerusi video yang dimuat naik menerusi Facebook, hari ini.
Menurut penyandang kerusi Parlimen Rembau itu beliau akan cuba sehabis baik untuk menambahbaik kemudahan Hospital Sungai Buloh sekiranya diberi mandat selepas PRU15.
Katanya, sekiranya Barisan Nasional (BN) mahu berubah ke arah yang lebih baik, parti itu perlu berani menawarkan perkhidmatan di kawasan bandar.
“Ini bukan bermaksud kita menidakkan pembangunan di luar bandar tetapi kita tidak boleh menganggap mereka di bandar ini senang.
“Kehidupan di bandar sangat mencabar termasuk dengan kos sara hidup, perumahan, banjir kilat, akses ke klinik kesihatan,” katanya.
Susulan itu, Khairy berkata, beliau akan melancarkan manifesto atau Kata Janji buat penduduk Sungai Buloh pada minggu depan.
“Saya juga akan mendengar pandangan, keluhan serta cadangan anda semua di kawasan ini dalam beberapa siri townhall yang akan saya adakan,” katanya. – Malaysiapost