Uncle Kentang bertanding Bebas di Puchong
AKTIVIS Masyarakat, Kuan Chee Heng mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Puchong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebelum ini, beliau yang lebih dikenali dengan Uncle Kentang pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, namun kalah.
Menurut Uncle Kentang, beliau bertanding kerusi Parlimen kali ini untuk memastikan penduduk di situ mempunyai seorang wakil rakyat yang sentiasa turun padang dan mendengar masalah rakyat.
“Undi ada di tangan anda. Setelah sahabat-sahabat kita ditinggalkan, kita bangkit semula.
“Kita muram, kita merajuk, kita mengalah kerana bukan sahabat kita jadi calon. Bukan orang tempatan jadi calon. Bukan mereka yang telah berkhidmat jadi calon,” katanya menerusi Facebook.
Uncle Kentang berjanji akan berada di mana-mana sahaja, asalkan masalah rakyat dapat diselesaikan.
“Jangan resah dan gusar. Kita masih ada seorang apek Cina yang boleh dipangkah,” katanya.
Menurutnya, beliau orang biasa yang mudah untuk berjumpa, bukannya hanya lima tahun sekali untuk mendengar masalah rakyat.
Kerusi Puchong disandang oleh Gobind Singh Deo (DAP) selama tiga penggal selepas menang pada 2008, 2013 dan 2018.
Pada 2018, Gobind memperoleh majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (Gerakan) dan Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan (PAS).
DAP bagaimanapun mengumumkan Gobind sebagai calon Parlimen Damansara mewakili Pakatan Harapan (PH) menggantikan penyandang, Tony Pua yang tidak bertanding pada PRU15.
Parti itu meletakkan bekas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar ketika pentadbiran PH, Yeo Bee Yin di kerusi Puchong. – Malaysiapost