Zambry perbetul Hadi, jelas pertemuan PAS
SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tampil memperbetulkan sekali gus menjelaskan kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung pertemuan pucuk pimpinan kedua-dua parti bulan lalu.
Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Zambry berkata, pucuk pimpinan PAS yang mendesak terlebih dahulu agar mengadakan pertemuan dengan Umno terutamanya dengan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya mohon menjelaskan kebenaran setelah Sinar Harian 2.11. 2022 keluarkan kenyataan Tok Guru bahawa Umno yang mengajak berbincang tentang kerjasama selepas pembubaran parlimen diumumkan.
“Sebenarnya pihak PAS yang berkali-kali berhubung dengan pihak Umno dan datang berbincang awal secara tidak rasmi dengan wakil Umno.
“Atas nama ukhwah & husn al-dhan (bersangka baik), Presiden Umno akhirnya bersetuju untuk bertemu Tok Guru di Yayasannya,” katanya.
Zambry menjelaskan, selepas pertemuan itu, pucuk pimpinan kedua-dua parti telah mengadakan pertemuan berikutnya.
“Selepas itu berlakulah pertemuan berikutnya. Tidaklah sampai peringkat berbincang pembahagian kerusi secara rasmi lagi.
“Dan Tok Guru kemudiannya membuat kenyataan untuk kekal bersama PN. Kami hormati keputusan itu. Dan kami tidak komen apa-apa,” katanya.
Bagaimanapun, Zambry berkata, Abdul Hadi yang mula mengeluarkan kenyataan sehingga mengeruhkan hubungan kedua-dua parti selepas itu.
“Melainkan apabila Tok Guru memberi hujah menolak bersama dengan BN sebab BN “keruh”, pihak kami pun menjawab sedikit sebanyak,” katanya.
Justeru, Zambry berharap segala bentuk kecaman yang saling membalas antara kedua-dua parti dihentikan sekali gus mewujudkan rasa hormat antara satu sama lain.
“Pandangan saya, usahlah kita terus keruhkan hubungan antara Umno dan PAS. Usahlah kita caci mencaci antara satu sama lain, atau tuduh menuduh, atau menggelar itu dan ini sesama kita lagi.
“Marilah kita berlapang dada dalam urusan siasah yang terdapat ikhtilaf pandangan dan pendekatan dan kekalkan sifat saling hormat menghormati.
“Maafkan saya sekali lagi kerana terpaksa membetulkan kenyataan Tok Guru,” katanya. -Malaysiapost