35 lagi mangsa penipuan tawaran pekerjaan dibawa pulang
SERAMAI 35 lagi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan membabitkan warganegara Malaysia di Kemboja berjaya dibawa pulang ke tanah air semalam.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata kesemua mereka terdiri daripada dua kumpulan yang selamat tiba melalui dua Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
“Kumpulan pertama membabitkan 28 orang melalui penerbangan MH755 yang tiba di pada jam 2 petang; dan tujuh orang lagi melalui penerbangan AK539 di KLIA2 pada jam 5.35 petang, semalam.
“Ini merupakan kejayaan terbesar Kementerian Luar Negeri (KLN) membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket tersebut melalui Kedutaan Besar Malaysia (KBM) di Phnom Penh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, setakat semalam daripada 220 kes jenayah penipuan penawaran pekerjaan di negara itu yang dilaporkan, kesemua mangsa telah berjaya dibawa pulang.
“Setakat ini, tiada mangsa yang berada di dalam depoh tahanan imigresen negara itu. KLN akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia membantu mangsa apabila dilaporkan dan memerlukan bantuan.
“Pada masa yang sama, KLN melalui Kedutaan Besar Malaysia di Laos, Myanmar dan Thailand terus menggiatkan usaha untuk mengesan dan menyelamatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket di negara-negara berkenaan,” katanya.
Menurutnya, daripada keseluruhan 459 laporan yang diterima oleh KLN, seramai 324 orang telah berjaya diselamatkan, termasuk 20 orang yang berada di dalam depoh tahanan imigresen di ketiga-tiga negara terbabit.
“Pihak KBM di ketiga-tiga negara-negara tersebut dengan kerjasama Kerajaan negara-negara terbabit masih giat mengesan seramai 135 lagi yang dilaporkan sebagai mangsa,” katanya.
Saifuddin mewakili KLN merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Kemboja yang sentiasa memberikan bantuan dan kerjasama terbaik bagi membolehkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini dibawa pulang ke tanah air.
“Selain itu, penghargaan juga dizahirkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan wakil media tempatan di atas kerjasama erat yang diberikan dalam urusan kepulangan mereka.
“Warganegara Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran-tawaran pekerjaan di luar negara yang diterima, terutamanya melalui platform sosial media,” katanya.
Beliau berkata, warga Malaysia boleh berhubung dengan pihak Kedutaan Malaysia di negara yang berkenaan sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung tawaran kerja.
“Mereka juga dinasihatkan supaya segera membuat laporan kepada PDRM dan KLN sekiranya ada di antara ahli keluarga mereka yang terjebak dalam sindiket tersebut untuk bantuan sewajarnya,” katanya. – Malaysiapost