Ahmad Zahid nafi guna strategi beri kemenangan kepada PH
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa strategi digunakan bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bertujuan mengecilkan kemenangan BN untuk memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi BN itu berkakata, dakwaan itu adalah tidak benar dan satu propaganda, malah fitnah besar yang dilontarkan terhadapnya.
“Fitnah terdesak ini datangnya daripada pemimpin yang selalu menggunakan agama untuk berkuasa dalam politik tetapi tidak menggambarkan erti perjuangan sebenar. Terlalu mudah mengkafirkan orang yang tidak bersetuju seperti amanat pernah dikeluarkan pada tahun 1981.
“Insya-Allah Umno khususnya dan BN keseluruhannya terus memilih kesederhanaan dalam politik sesuai dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa ada segelintir ahli Umno yang mahu mengecilkan kemenangan BN pada PRU-15.
Abdul Hadi dalam sidang media ketika menghadiri majlis pengumuman calon-calon Perikatan Nasional (PN) Kedah di Alor Setar, kelmarin, mendakwa tindakan itu bagi membesarkan peluang menang kepada PH untuk memaksa BN bergabung dengan PH selepas PRU-15 nanti.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan apa pun strategi kemenangan yang dilakukan adalah sebahagian daripada langkah taktikal parti serta banyak faktor yang diambilkira agar resipi kejayaan benar-benar tercapai.
“Kadangkala ini sukar difahami sesetengah pihak, kurang diyakini, malah ada memperlekehkan strategi ini. Memang kadang kala dalam perjuangan ke arah kemenangan besar tidak semua kita boleh dedahkan strategi dan senjata sulit kita.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor membuktikan strategi kita berkempen dan membuat perubahan dalam pemilihan calon misalnya memberikan impak besar kepada keputusan pilihan raya,” katanya.
Menurutnya, dalam menggabungjalin segala strategi ke arah kemenangan, perjuangannya juga merentasi gender dan etnik.
“Dalam isu gender memang kita sedaya upaya memenuhi agar pengisian tersebut memenuhi permintaan wanita. Kita cuba penuhi sedaya upaya namun dalam kita cuba penuhi tersebut ada bantahan kalangan pihak tertentu.
“Misalnya ada calon penyandang calon lelaki misalnya tidak mahu memberikan laluan tersebut kerana masih mahu bertanding mengekalkan kuasa seperti di Padang Besar Perlis.
“Kita juga meletakkan calon wanita di Tanjung Karang sebagai mengiktiraf peranan perjuangan wanita. Kita sedaya upaya meletakkan calon wanita sebanyak mungkin. Saya kira bukan sahaja BN, tetapi parti lain juga lakukan perkara sama,” katanya.
Beliau berkata, perkara sama juga membabitkan soal etnik kerana pemilihan calon untuk memenangi sesebuah kawasan parlimen tidak melihat warna kulit, etnik dan gender etnik.
“Sesiapa sahaja dilihat boleh menang dan memiliki ciri WALI (winnable, acceptable dan likeable) akan dipertaruhkan untuk bertanding.
“Semua calon terbaik, namun ada nilai tambah yang perlu untuk penyegaran (revival) parti agar berdaya saing dan bercirikan politik generasi masa depan,” katanya.
Beliau menegaskan tidak timbul isu kononnya ada bias gender atau warna kulit, tetapi sebaliknya perjuangan manusia sejagat melangkaui warna kulit dan biologi. – Malaysiapost