‘Amanah pertahan BN di Kepala Batas bermula’ – Reezal Merican
DATUK Seri Reezal Merican Naina Merican menjemput penyokong Barisan Nasional (BN) bersama -sama berarak ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas bagi penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok.
Penyandang Parlimen Kepala Batas itu mengajak penyokong BN berkumpul di hadapan Sekolah Menengah Sains Kepala Batas pada jam 7 Pagi sebelum berarak ke ILP Kepala Batas.
“Esok, 5 November, perjalanan menggalas mandat yang diamanahkan untuk mempertahankan Barisan Nasional di bumi Kepala Batas ini akan secara rasminya bermula.
“Insya Allah, saya pohon doa dan sokongan semua, agar perjuangan ini bermula dengan kebaikan, berjalan di dalam payung rahmatNya dan berakhir dengan kejayaan, tidak lain segalanya demi Kepala Batas, tanah kelahiran yang amat dekat di hati saya.
“Semoga Allah S.W.T memberkati perjuangan kita dan kejayaan akan memihak kepada kita. InsyaAllah. Demi Kepala Batas,” katanya dalam hantaran Facebook, mala mini.
Pada PRU14, Reezal Merican memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas menewaskan calon PKR, Dr Zaidi Zakaria dan Siti Mastura Muhammad (PAS), selepas memperoleh 22,459 undi. – Malaysiapost