Annuar seru jentera, rakyat Ketereh sokong calon BN
PENYANDANG kerusi Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa menyeru semua barisan jentera dan rakyat Ketereh untuk menyokong sepenuhnya calon Barisan Nasional (BN).
Walaupun namanya digugurkan daripada mempertahankan kerusi yang beliau sudah berkhidmat sejak 2013, Menteri Komunikasi dan Multimedia tetap menyatakan sokongan terhadap semua calon BN Kelantan yang bertanding.
“Hari ini saya ke Dewan Umno Negeri Kelantan bagi memberi sokongan kepada calon-calon yang bakal bertanding mewakili BN.
“Saudari Marzuani Ardila Ariffin (Ketua Puteri Umno Kelantan), bakal mewakili Parlimen Ketereh untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
“Saya mengambil kesempatan untuk menyeru semua barisan jentera dan rakyat Ketereh untuk menyokong sepenuhnya calon kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berharap dengan sokongan semua, BN bakal memperoleh kemenangan bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran buat Malaysia. – Malaysiapost