Asyraf Wajdi mahu inisiatif tadika transit percuma golongan sasar diwujudkan

Asyraf Wajdi mahu inisiatif tadika transit percuma golongan sasar diwujudkan

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau akan mencadangan agar inisiatif tadika transit secara percuma diberikan kepada golongan memerlukan di negara ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gerik itu berkata, beliau komited akan memperjuangkan isu berkenaan selepas kerajaan baharu terbentuk kelak.

Asyraf Wajdi berkata, perkara itu dibangkitkan selepas terkesan melihat sekeping foto mengenai kegigihan seorang ibu tunggal Azimah Rahim yang bekerja sebagai penghantar makanan sambil mengendong anak yang cacat penglihatan, tular baru-baru ini.

“Sayu hati melihat gambar ini. Seorang ibu yang terpaksa membawa anak OKU-nya ketika bekerja menghantar makanan.

“Hakikat yang kena akui, ini bukan satu-satunya kes di dalam negara. Sangat banyak aduan Pemuda Umno terima dahulu berkenaan masalah pekerjaan dan kehidupan sosial yang tidak seimbang.

“Terutamanya ketika darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak yang merosakkan rezeki rakyat,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, gambar tular itu menyedarkannya bahawa masih ramai lagi rakyat yang terlepas daripada menerima inisiatif kerajaan dan usaha Pemuda.

“Namun gambar ini meruntun hati saya. Mungkin ini teguran Allah bahawa perjuangan kami belum benar-benar sempurna.

“InsyaAllah saya akan berusaha memperjuangkan isu ini selepas kerajaan baru terbentuk kelak. Antaranya termasuk cadangan agar inisiatif tadika transit bagi golongan memerlukan seperti ini diberikan secara percuma oleh kerajaan,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, beliau akan berusaha memperkasakan insentif penjagaan anak OKU bagi keluarga tidak berkemampuan.

“Saya fikir inisiatif-inisiatif ini adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan. Tidak membebankan kewangan memandangkan kita juga sudah mempunyai banyak tadika milik kerajaan termasuk Tadika Permata.

“Namun, ia adalah suatu perkara dasar dan tidak boleh dilaksanakan oleh kerajaan interim seperti hari ini.

“Tetapi siapa pun yang dipilih rakyat kelak, InsyaAllah perjuangan kami tidak akan terhenti untuk rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen