“Barangkali ini adalah usaha terakhir saya” – Ku Li

“Barangkali ini adalah usaha terakhir saya” – Ku Li

PENYANDANG kerusi Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, membayangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini mungkin medan terakhirnya berkhidmat sebagai wakil rakyat selepas menabur bakti selama 12 penggal di Gua Musang.

Menurutnya, diberi kepercayaan dan dinamakan Barisan Nasional (BN) sebagai calon mempertahankan kerusi berkenaan sekali lagi, tidak dianggap sebagai suatu kemegahan.

Sebaliknya, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li, menganggap keputusan parti itu membuktikan rakyat di kawasan parlimen berkenaan masih memerlukan lagi kepimpinannya.

“Ya, saya yang lama dalam rekod (12 penggal) tetapi ia bukanlah kemegahan, cuma membayangkan rakyat di sini masih memerlukan saya.

“Saya dikehendaki bertanding semula, terutama Orang Asli yang berkali-kali meminta saya jangan tarik diri jika ditawarkan menjadi calon.

“Saya sudah lama sangat dan patut memberi jalan kepada orang lain. Barangkali ini adalah usaha terakhir saya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Jaring anjuran Puteri Umno Gua Musang, hari ini.

Tengku Razaleigh bagaimanapun tidak menafikan ada pelapis dalam kalangan pemimpin di Gua Musang, dan beliau menasihati mereka yang akan menggantikannya kelak supaya sentiasa mengutamakan kestabilan dan kebajikan rakyat.

“Mesti ada (pemimpin pelapis). Kita tidak mahu apabila saya berundur, keadaan menjadi kucar-kacir. Kita mahu meneruskan kestabilan.

“Saya hendak mengingatkan orang di Gua Musang, mereka perlu mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya. – Malaysia

Komen