Calon, penyokong perlu ikut arahan polis
Ben Ibrahim
POLIS menasihatkan calon dan penyokong parti yang menyertai proses penamaan calon bagi PRU15 mematuhi undang-undang ditetapkan pihak berkuasa.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, etika dan arahan itu turut membabitkan peraturan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Mereka (calon) sudah diberikan taklimat mengenai perkara itu sebelum ini.
“Kita menempatkan seramai 2,845 pegawai dan anggota polis di 14 lokasi penamaan calon di seluruh Pahang.
“Perjumpaan dan taklimat telah diadakan antara calon, wakil calon dan parti-parti politik dengan ketua polis daerah di kawasan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Ramli turut mengingatkan orang ramai agar merancang perjalanan mereka berikutan terdapat beberapa jalan terpaksa ditutup bagi melancarkan proses penamaan calon ini.
Katanya, segala maklumat terperinci berkaitan jalan termasuk lencongan boleh didapati menerusi akaun laman sosial, Facebook polis daerah masing-masing. – Malaysiapost