Che Abdullah wakil BN sebab mahu tebus maruah lepas difitnah

Che Abdullah wakil BN sebab mahu tebus maruah lepas difitnah

DATUK Che Abdullah Mat Nawi, menjelaskan tindakannya bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertujuan menebus maruah selepas teruk difitnah.

Sebelum ini, penyandang kerusi Parlimen Tumpat itu mendakwa difitnah tanpa diberi ruang dan peluang oleh PAS untuk mempertahan diri sehingga tidak dicalonkan di kerusi Parlimen berkenaan.

“Saya OK jika tidak bertanding pun memandangkan saya tidak mempunyai cita-cita politik yang tinggi dan tidak pernah menagih jawatan.

“Saya cuba menggalas tugas itu dengan baik jika diberikan tanggungjawab.

“Namun demikian, bila saya difitnah secara berleluasa tanpa diberi ruang pertahankan diri dan pada masa sama BN tampil menawarkan kerusi, saya fikir inilah masa menebus semula maruah diri.

“Saya akan jadikan pentas BN bagi menjelaskan segala fitnah kepada saya, sekali gus membersihkan kembali nama,” katanya memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Watikah Calon yang disampaikan oleh Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub di Kota Bharu, hari ini.

Che Abdullah menegaskan tidak sesekali memusuhi pemimpin PAS walaupun bertanding atas tiket BN.

“Saya menyayangi dan menghargai segala pertolongan mereka. Pada masa sama, saya mengharapkan diberi peluang kerana terlalu sayangkan Parlimen Tumpat.

“Sebelum ini, saya bekerja kuat sebagai ahli Parlimen dan pemimpin PAS di Tumpat. Saya berusaha sepenuh hati dan melaksanakan yang terbaik untuk warga Tumpat.

“Hasil usaha keras itu saya menang besar pada PRU14, namun disebabkan fitnah, saya dijatuhkan,” katanya.

Che Abdullah tidak mahu menaruh harapan tinggi apabila memperkatakan sama ada mampu menarik sokongan pengundi PAS pada PRU15.

Bagaimanapun, beliau yakin sahabat, keluarga dan penyokong akan bersimpati dalam membantu perjuangannya mengembalikan maruah.

Terdahulu, BN mengumumkan Che Abdullah bertanding di Parlimen Tumpat menggunakan tiket BN pada PRU15. – Malaysiapost

Komen