Ibu bapa gembira kenaikan kadar RMT
IBU bapa menyambut baik peningkatan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkuat kuasa 6 November ini.
Sambil menyifatkan perjuangan KPM yang diterajui menterinya, Datuk Mohd Radzi Jidin yang berusaha meningkatkan kadar RMT sebagai “hadiah” cukup bermakna.

Kakitangan awam, Nadia Abdullah menyifatkan kenaikan kadar RMT selaras dengan peningkatan taraf hidup rakyat Malaysia kini.
“Bagi saya ini adalah sesuatu yang amat bermakna. Peningkatan kadar ini membolehkan murid-murid dapat menikmati makanan berkhasiat.
“Khususnya bagi murid-murid di kawasan luar bandar, ia pasti cukup bermakna,” katanya kepada Malaysiapost.

Terdahulu hari ini Mohd Radzi berkata KPM menaikkan kadar RMT bagi murid sekolah di seluruh Malaysia berkuat kuasa 6 November ini.
Menteri Kanan Pendidikan itu berkata kadar RMT bagi seorang murid dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung, manakala RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

“Alhamdulillah, usaha KPM untuk menaikkan kadar RMT dapat dilaksanakan pada tahun ini.
“Pelaksanaan kadar baharu ini memanfaatkan seramai 791,477 orang murid penerima RMT di seluruh negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Seorang lagi penjawat awam yang juga ibu kepada empat orang anak masih bersekolah, Fadzilah Ibrahim, berpendapat kenaikan kadar RMT adalah satu keperluan yang dilaksanakan tepat pada masanya.
“Ini sudah pasti akan meringankan beban ibu bapa khususnya bagi mereka berpendapatan rendah untuk memastikan anak-anak mereka mendapat makanan berkhasiat.
“Terima kasih diucapkan kepada kerajaan, khusus KPM atas usaha murni ini,” katanya.

Bagi kakitangan swasta, Ismail Ahmed, berkata peningkatan kadar RMT adalah tepat pada masanya ketika kos sara hidup semakin meningkat.
“Ketika kos sara hidup semakin meningkat, bagi saya pengumuman ini satu kelegaan buat ibu bapa.
“Tak semua keluarga mampu menyediakan sarapan berkhasiat buat anak-anak mereka, saya fikir KPM memahami keperluan anak-anak dan ini satu kelegaan kepada ibu bapa,” katanya.- Malaysiapost