‘Jangan jual tablet PerantiSiswa’ – Tengku Zafrul
MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz melarang penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) menjual tablet yang diterima menerusi bantuan PerantiSiswa.
Peringatan tersebut dibuat selepas tular hantaran memaparkan segelintir pelajar bertindak menjual peranti yang diterima mereka secara dalam talian.
“Jangan jual tablet. Itu pesanan saya kepada anak-anak di UiTM Selangor semalam semasa Majlis Penyerahan Tablet PerantiSiswa.
“Maklumlah, sebelum ni kita banyak baca tentang aktiviti menjual semula tablet percuma yang dibekalkan kerajaan. Jangan macam tu nak. Tablet tu kerajaan bagi untuk anak-anak belajar.
“Kalau tak perlukan, beritahu, kita boleh edarkan kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya dalam hantaran Facebook.
Tengku Zafrul berkata, pelajar UiTM Selangor yang menerima PerantiSiswa nampak gembira menerima tablet percuma tersebut.
Katanya, beliau berharap pemberian peranti itu akan terus membakar semangat untuk para pelajar lebih tekun belajar.
“Kalau ikut pelan asal, seramai 350,000 mahasiswa di Malaysia dijangka akan menerima manfaat daripada pelaksanaan inisiatif PerantiSiswa pada tahun ini.
“Tapi, kita dengar dan hayati masalah yang dibangkitkan oleh siswa. Jadi, untuk selesaikan, kita tambah 50,000 lagi PerantiSiswa supaya lebih ramai siswa siswi kita dapat dibantu!,” katanya. – Malaysiapost