“Kekal bersaudara meski berbeza” – Mohd Khairuddin
DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, menjanjikan persaingan secara sihat di kawasan Parlimen Kuala Nerus dalam usaha beliau mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu atas tiket PAS.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, kini disahkan akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dan akan berdepan cabaran daripada calon bekas partinya Datuk Dr Alias Razak yang akan mewakili Perikatan Nasional (BN).
Mohd Khairuddin berkata, perjuangannya untuk maslahat Islam dan misi muafakat umat akan diteruskan dalam PRU-15 ini.
“Dengan nama Allah. Saya berserah diri kepada Allah. Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah.
“Tugasan dan amanah digalas dengan iringan doa dan bantuan sahabat, kenalan dan rakyat untuk maslahat Islam dan misi muafakat umat,” katanya di Facebook.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Alias atas pencalonan dari pihak PN.
“Insya-Allah kita bersaing secara sihat di arena politik pilihan raya di Kuala Nerus untuk PRU-15.
“Kekal bersaudara meski berbeza,” katanya.
Sementara itu, Alias yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal diumumkan sebagai calon di Parlimen Kuala Nerus, malam tadi.
Beliau beriltizam penuh kesungguhan untuk melaksanakan segala gerak kerja sebelum, semasa dan selepas PRU sehabis daya.
“Malam tadi saya telah diisytiharkan sebagai calon PAS daripada PN untuk bertanding pada PRU-15 bagi kerusi Parlimen P035 Kuala Nerus.
“Mohon iringan doa dari semua. Semoga Allah berkati, rahmati dan redhai jalan perjuangan kita ini insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Majlis Pengisytiharan Calon PN Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, malam tadi mengumumkan Alias sebagai calon di kerusi Parlimen Kuala Nerus.
Sementara Mohd Khairuddin pula diumumkan sebagai calon mewakili BN di kerusi berkenaan oleh satu kenyataan daripada Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, semalam.
Menurutnya, calon secara ‘direct candidate’ itu dipilih atas sifat keterbukaan dan perpaduan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Ust Dr. Khairuddin at-Takiri