Lebih 20 tahun jadi ahli Umno, bapa Shuib kini sertai PAS

Lebih 20 tahun jadi ahli Umno, bapa Shuib kini sertai PAS

BAPA kepada pelakon dan pelawak terkenal, Shuib Sepahtu yang sebelum ini bergelar ahli Umno lebih 20 tahun lalu, mengambil keputusan menyertai PAS malam tadi.

Mohamad Arsyad, 65, berkata keputusan menyertai PAS selepas tertarik dengan kesepakatan dan semangat bantu-membantu ahlinya sewaktu menyampaikan bantuan banjir dan Covid-19.

Beliau menyerahkan borang keahlian kepada Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad pada program Ceramah Umum Bersama Calon PN P058 di Tapak Pasar Awam Pekan Alor Pongsu, Perak.

“Semangat dan keakraban dalam PAS berbeza dari parti asal saya. Melihat hubungan ukhuwah yang terjalin dalam kalangan ahli PAS, saya rasa macam ada aura tersendiri mengajak menyertai mereka.

“Penghijrahan saya ikhlas dan tiada paksaan, malah saya tak minta sebarang jawatan atau sebagainya.

“Saya telah bincangkan dengan ahli keluarga malah Shuib juga tak menghalang keputusan saya ini,” katanya memetik Berita Harian.

Mohamad berkata dia yang juga Setiausaha Umno Cawangan Parit Haji Ali sejak 10 tahun lalu akan melepaskan jawatan itu serta-merta dan akan memaklumkan kepada kepimpinan Umno Bagan Serai dalam masa terdekat. – Malaysiapost

Kredit foto: Berita Harian

Komen