Nik Abduh dapat restu bonda untuk tidak bertanding

Nik Abduh dapat restu bonda untuk tidak bertanding

PENYANDANG kerusi Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, menjelaskan beliau tidak terpilih sebagai calon bagi mempertahankan kawasan berkenaan adalah atas kehendaknya sendiri.

Menurutnya, hasrat untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) itu pernah disuarakan ketika berucap kepada perwakilan Mesyuarat Agung PAS kawasan Bachok beberapa bulan lalu.

“Saya fikir hasrat itu difahami baik kerana ramai pula jentera PAS di sana yang terkilan terhadap pernyataan saya itu. Saya faham.

“Apabila Parlimen dibubarkan, saya mengambil masa hampir dua minggu untuk diam dan tafakur, memohon jawapan daripada Allah. Ia keputusan yang berat dan mestilah gagah.

“Apabila saya sudah tenang dan pasti, saya jumpa dan menyatakan hasrat kepada bonda saya. Syukur, bonda memahami dan akur. Tanpa izinnya, saya tidak akan melangkah lebih,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, parti memberikannya isyarat awal untuk menjadi calon pada PRU-15 membuatkan beliau bergegas berjumpa dengan Yang Dipertua PAS Kawasan, Datuk Hasan Mahmud untuk menyatakan sekali lagi hasrat tidak bertanding.

“Nampak macam berat mahu terima, saya ‘paksa’ dia terima..Kemudian saya mohon berjumpa Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. Alhamdulillah beliau amat memahami dan sedia membawa permohonan saya ke PAS Pusat.

“Apabila saya sudah memperoleh keyakinan bahawa permintaan saya diterima, terjadilah ‘kejadian’ saya memilih untuk menukar gambar profil laman Facebook FB saya. Ia suka-suka saja tanda berakhirnya tugas saya sebagai wakil rakyat.

“Tak sangka ia tiba-tiba ‘spark’ dan menjadi satu ‘game’ yang dicipta netizen. Garu kepala saya dibuatnya. Nak jawab, itu isu terkait adab berjamaah yang perlu saya serahkan kepada parti. Jadi, mohon maaf, saya tidak boleh jawab masa itu,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada parti PAS yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat selama dua penggal di Pasir Mas dan Bachok.

“Ia memberi saya ilmu dan pengalaman yang amat berguna sekali untuk meneruskan perjalanan saya di hadapan. Selamat berkempen dan selamat mengundi. Semoga Malaysia terus maju dengan perubahan politik yang lebih baik,” katanya.

PAS menamakan Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman bagi menggantikan Nik Mohamad Abduh di kerusi Parlimen Bachok pada PRU-15 ini.

Pada PRU-14 lalu, Nik Mohamad Abduh memenangi kerusi Parlimen Bachok dengan majoriti 3,292 undi menewaskan Datuk Seri Awang Adek Hussin (Barisan Nasional) dan Zulkifli Zakaria (Pakatan Harapan). – Malaysiapost

Komen