PAS perlu berhenti jadi ‘kuda tunggangan’ Bersatu – Zahid
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta pimpinan PAS terus berhenti menjadi ‘kuda tunggangan’ Bersatu yang sedang memperalatkan jentera parti itu.
Beliau juga dengan ikhlas memohon pemimpin PAS agar berhenti mengadu domba tentang Umno.
Ia kerana, ujarnya tuduhan PAS mendakwa pemimpin Umno mahu bekerja sama dengan ‘khemah besar’ Pakatan Harapan (PH) sangat tidak benar.
“Pemimpin Umnoi tidak pernah pun menyebut hasrat menyertai ‘khemah besar’ PH.
“Konon pimpinan PAS dapat maklumat. Dari mana maklumat itu diperoleh? Adakah dari PBBM@Bersatu?
“Atau dari satu dua ‘gunting dalam liputan’ dalam Umno? Jika begitu kaedahnya tak ‘dapek’ Umno nak menolong,” katanya.
Ahmad Zahid turut menyoal sama ada PAS sudah lupa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyatakan hasrat bekerjasama dalam ‘khemah besar’.
Bagaimanapun, katanya hasrat tersebut tidak kesampaian kerana PH dan Gerakan Tanah Air (GTA) masing-masing mempunyai agenda serta muslihat `tersendiri’.
“Jadi mengapa pimpinan Umno pula yang dituduh oleh pemimpin Pas mahu bekerjasama dengan PH?
“Ahli PAS bernasib baik muslihat Pengerusi PN tidak kesampaian jika tidak tentu mereka telah pun kembali ke pangkuan DAP,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata pimpina PAS kelihatan semakin tersasar daripada nilai politik budiman sejak bersama PN.
Ujar Ahmad Zahid, mungkin perkara tersebut akibat terpengaruh dengan budaya politik tidak sihat dan curang sahabat baharu.
Menurutnya, hanya ahli akar umbi PAS yang dapat memperbaiki parti mereka daripada terus hanyut.
“Ahli akar umbi Pas teruslah bekerjasama memberi kemenangan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Insya-Allah kemuafakatan itu akan memberi ‘domino effect’ memulihkan politik Pas yang kian tersasar,” katanya. – Malaysiapost