PAS yakin pertahan kerusi Kuala Nerus, Tumpat – Abdul Hadi
“MEREKA bukan pemimpin dan ahli PAS lagi,” demikian tegas Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi mengenai kedudukan dua pemimpin parti itu yang bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Beliau berkata, kedua-duanya sudah dipecat dan secara automatik mereka keluar dari PAS dan parti itu tidak lagi bertanggungjawab serta terpulang untuk mereka bertanding dengan parti mana.
“Mereka sudah tiada disiplin daripada awal dan sudah diambil tindakan daripada awal lagi.
“Mereka juga telah dipanggil serta diberi nasihat, namun oleh kerana mereka ada pandangan sendiri dan tidak mahu terima keputusan parti..silakan keluar daripada parti,” katanya dalam sidang media selepas ceramah perdana sempena majlis Pengisytiharan Calon PRU-15 PN di Marang, Terengganu malam tadi.
Beliau mengulas mengenai kedudukan penyandang kerusi Parlimen Kuala Neru, Datuk Seri Khairuddin Aman Razali dan penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Kedua-duanya yang memenangi kerusi berkenaan dalam PRU-14 atas tiket PAS, disahkan akan bertanding mewakili BN pula kali ini.
Abdul Hadi bagaimanapun yakin, tindakan kedua-dua penyandang kerusi parlimen berkenaan tidak akan menggugat kedudukan PAS di kawasan terbabit.
“Kesannya tiada kerana cawangan-cawangan tidak bersama mereka, bahkan mereka ini tidak menang dalam Mesyuarat Agung PAS di kawasan pun..ada yang begitu.
“PAS tidak rasa tergugat dengan keadaan itu, apatah lagi kita mendapat sokongan daripada ‘orang’ Umno yang baru datang bersama dengan kita,” katanya.
Beliau yakin PAS akan dapat mempertahankan kerusi PAS di kedua-dua kerusi berkenaan berdasarkan kekuatan yang selain mempunyai cawangan di tiap-tiap peti undi kawasan terabit.
“Kita harap ahli PAS kawasan berkenaan tidak menyokong mereka dan menyokong calon PAS.
“Apatah lagi calon yang dipilih PAS kali ini adalah bekas Exco negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang ada pengaruh di kawasan berkenaan,” katanya. – Malaysiapost