Penamaan calon: Elak provokasi, patuhi undang-undang – Polis

Penamaan calon: Elak provokasi, patuhi undang-undang – Polis

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) meminta semua pihak memberi kerjasama untuk mematuhi undang-undang dan mengelakkan sebarang provokasi sepanjang proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), esok.

Pengarah Operasi PDRM PRU15, Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata pihaknya meningkatkan kesiapsiagaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses tersebut berlangsung.

“Selain 31,183 petugas beruniform dan tidak beruniform, PDRM juga akan menggerakkan aset dron bagi menjalankan pemantauan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penamaan calon bagi PRU15 akan berlangsung esok di seluruh negara melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15).

Turut diadakan serentak adalah penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.

Tempoh mengemukakan kertas penamaan calon bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon seluruh negara.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November ini. – Malaysiapost

Komen