PNBEST agenda utama manifesto BN – Muhyiddin
TIGA perkara pokok dijadikan sebagai agenda utama dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) iaitu prihatin, bersih dan stabil (PNBEST), kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, agenda pertama adalah prihatin yang cukup sinonim dengan Kerajaan PN yang sememangnya menitikberatkan masalah rakyat dan cara hendak meringankan beban mereka.
“Bersih pula memastikan semua calon kita bebas rasuah dan bersumpah untuk tidak menyalah guna kuasa atau mengambil duit rakyat walau sesen pun.
“Hanya dengan kerajaan yang prihatin dan bersih, kestabilan negara dapat dikecapi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini
Justeru, beliau berpesan supaya pengundi tidak hanya menggunakan hak sebagai pemilih untuk mengundi begitu sahaja tetapi melaksanakannya dengan penuh bertanggungjawab bagi memilih pemimpin dan kerajaan yang baik serta amanah.
Muhyiddin turut berkongsi perkara itu dengan penduduk Sungai Besar, Selangor dalam Jelajah Prihatin Parlimen Sungai Besar di Dataran Desa Permai, malam tadi.
“Pertemuan saya dengan penduduk Sungai Besar khususnya para pengundi di kawasan ini adalah amat penting untuk memberi maklumat tentang situasi negara yang kritikal dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
“Kita hendak membentuk sebuah kerajaan yang baik, beramanah, bertanggungjawab, prihatin tentang nasib rakyat, yang tahu denyut dan nadi rakyat. Mampukah PN membentuk kerajaan selepas 19 November ini?
“Moga kita mampu kerana jika berjaya, kita akan dapat meneruskan kerja-kerja mengurus hal rakyat yang belum selesai, sewaktu 17 bulan pemerintahan PN, ketika saya menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Menurutnya, paling utama adalah ‘bread and butter issues’ iaitu perkara-perkara pokok menyentuh soal kehidupan rakyat yang akan menjadi agenda utama PN jika kita menang.
“Mesti ada kesedaran dan tanggungjawab serta ‘sense of urgency’ untuk tidak berlengah dalam memastikan masalah mereka dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Negara kita belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19. Jika kerajaan yang dibentuk selepas PRU-15 tidak tahu mengenai nasib rakyat, maka keadaan akan menjadi lebih sukar,” katanya. – Malaysiapost