PRU15: Hadi dedah ada pemimpin BN tunjuk minat bertanding tiket PN

PRU15: Hadi dedah ada pemimpin BN tunjuk minat bertanding tiket PN

TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan terdapat beberapa lagi pemimpin Barisan Nasional (BN) menunjukkan minat untuk bertanding atas gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS, berkata beberapa pemimpin itu ketika ini dalam proses untuk dinamakan dan kemungkinan akan diketahui pada hari penamaan calon.

“Ada lagi pemimpin (BN) namun sedang dalam proses, (tetapi) berapa kerusi tak boleh sebut lagi.

“Yang penting ada di utara, tengah dan selatan. Nantilah tunggu nama calon hari Sabtu (penamaan calon),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PN Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila, malam tadi.

Terdahulu dua peyandang kerusi Parlimen yang menang atas tiket BN pada PRU14 iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran) sah bertanding atas tiket PN.

Ditanya berhubung senarai calon yang dikemukakan pada PRU15, Abdul Hadi berpuas hati dengan perbincangan dijalankan dalam keadaan yang sangat tenang.

“Berpuas hati dan perbincangan sangat tenang, tidak tegang di antara satu sama lain, bertolak ansur dan PAS banyak jentera di seluruh negara.

“Namun, kita mengerahkan jentera PAS bekerja di parti rakan yang bertanding sebagaimana juga kita bertanding.

“Malah kita bersama menggunakan simbol (seperti) di Terengganu kita akan guna simbol PAS termasuk calon daripada Bersatu, pantai barat, utara pakai simbol Perikatan Nasional termasuk calon-calon PAS,” katanya.

Terdahulu, beberapa pemimpin BN yang digugurkan pada PRU15 dilaporkan menunjukkan kesungguhan untuk mempertahankan kerusi Parlimen dimenangi tanpa menggunakan tiket gabungan itu. – Malaysiapost

Komen