PRU15: PAS tidak bersama MN kerana ada mereka yang ‘gila kuasa’ – Hadi

PRU15: PAS tidak bersama MN kerana ada mereka yang ‘gila kuasa’ – Hadi

KEPUTUSAN PAS tidak bersama Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana adanya golongan yang ‘gila kuasa’ dalam parti itu.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata kumpulan berkenaan sanggup menghancurkan penyatuan yang telah dibina demi kepentingan dan agenda peribadi mereka.

Selain itu, katanya, kerjasama PAS-Umno tidak dapat direalisasikan kerana wujud pelbagai masalah dan hal-hal yang sangat ‘merumitkan’ serta sikap dominan Umno termasuk mengatur kerusi PAS.

“Selepas Parlimen dibubarkan dia (Umno) ajak nak jumpa, tapi dia cakap dalam media PAS nak minta jumpa dia. Pada hal dia yang menghadap kita.

“Kita (PAS) bersedia jumpa di hotel. Saya (pergi) dengan Timbalan Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man).

“Umno pun begitu (Ahmad Zahid)dengan Timbalan Presidennya (Datuk Seri Mohamad Hasan),” katanya menerusi rakaman video yang dimaut naik di Facebook, hari ini.

Menurut Abdul Hadi, Umno memberi syarat bahawa PAS boleh bersama parti itu sekiranya memutuskan kerjasama dengan semua pihak khususnya Bersatu.

“(Masa itu) Umno beri PAS tempoh hingga hari Jumaat. Jumpa hari Rabu dan mereka minta PAS buat keputusan jika tidak, tak ada kerjasama.

“Boleh pula dia ‘perintah’ kita, lepas tu dia (Umno) sebut pula kerusi PAS di Pasir Putih Kelantan bagi dekat dia (Umno), kemudian wakil rakyat Kubang Kerian balik Jerantut. Dia pula yang tukar atur kerusi PAS.

“Akhirnya kami buat keputusan memilih Perikatan Nasional (PN) bukan MN mengapa? kerana masalah-masalah kerana hal-hal sangat ‘merumitkan’ ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen