Radzi: Terima kasih warga KPM
Datuk Dr Radzi Jidin
PETANG semalam saya berpeluang bersama-sama warga Kementerian Pengajian Tinggi (KPM) dalam majlis minum petang di PICC. Turut hadir pengurusan tertinggi dan mantan pengurusan tertinggi kementerian.
Terima kasih buat seluruh warga KPM yang telah begitu banyak membantu saya dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Pendidikan, khususnya dalam tempoh sukar ketika pandemik Covid-19 dan tempoh pemulihan negara.
Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya.
Tidak ada siapa pun antara kita yang pernah melalui situasi sukar sedemikian. Namun, berkat kesungguhan, kecekalan serta kerjasama seluruh keluarga besar KPM, tidak terkecuali murid dan ibu bapa, kita semua dapat melalui tempoh sukar tersebut dengan baik.
Sesukar manapun cabaran, kita harungi dan ikhtiarkan yang terbaik demi kesejahteraan anak-anak dan warga pendidikan. Kenangan ini akan sentiasa tersemat dalam ingatan saya.
Tanpa sahabat-sahabat semua, sama ada di jabatan mahupun di sekolah, kaburlah masa depan negara. Jasa, masa dan tenaga yang anda curahkan amat saya sanjungi. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.
Pendidikan merupakan wadah utama negara dan menggenggam amanah melahirkan generasi pewaris negara yang berketerampilan serta berdaya saing yang mampu mencorak masa depan generasi berikutnya.
Harapan saya hanyalah mahu Kementerian Pendidikan ini apabila disebut namanya, semua orang akan hormat dan memberikan kepercayaan sepenuhnya dalam memastikan ekosistem pendidikan negara berada ditahap tinggi dan gemilang. Ini semua adalah cabaran dan amanah yang perlu dipikul bersama.
Saya adalah anak rantau. Singgah di KPM adalah sebahagian daripada sejarah perjalanan hidup saya sebelum meneruskan langkah seterusnya. Momen kita bersama adalah amat indah, sukar diperjelaskan perasaan ini. KPM adalah sebuah keluarga besar, menyimpan beribu kenangan dan mengajar berjuta pengalaman.

Terima kasih semua. Anda semua memang awesome!!
Penulis merupakan Menteri Kanan Pendidikan
(Artikel ini disiar tanpa suntingan dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)