Semak semula elaun guru KAFA, takmir – Mahdzir

Semak semula elaun guru KAFA, takmir – Mahdzir

KERAJAAN wajar menyemak semula elaun dan gaji guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) serta guru takmir yang didakwa masih rendah dan tidak relevan dengan keadaan semasa.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata isu yang melibatkan kebajikan guru-guru agama penting dan perlu diutamakan kerana mereka adalah sebahagian cabang institusi pendidikan.

“Isu berkenaan elaun rendah guru-guru KAFA ini sudah banyak kali dibincangkan dan sepatutnya ia diuruskan sebaiknya.

“Justeru, saya fikir ia (elaun guru KAFA) satu perkara yang wajib disemak semula kerajaan terutama melibatkan soal gaji mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Perjumpaan bersama lebih 800 Guru KAFA, Takmir dan Iman di Parlimen Padang Terap, Kedah.

Ditanya mengenai jumlah elaun yang dirasakan bersesuaian, Mahdzir berkata, beliau percaya perkara itu akan mendapat penelitian sewajar.

“(Isu sekarang elaun) mereka tak cukup, kena lebih (naik) daripada jumlah yang diberikan sekarang,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon berkata kerajaan komited melihat semula isu elaun rendah dan perjawatan guru KAFA yang masih bertaraf kontrak.

Perdana Menteri berkata, beliau ada berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali kerana guru KAFA terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kita akan tengoklah, kita akan ‘review’ balik perkara ini selepas pilihan raya,” katanya. – Malaysiapost

Komen