Sertai PN keputusan Ismail sendiri – Saifuddin
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyelar pihak tertentu mempersoalkan tindakan gabungan itu mencalonkan bekas ahli parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib di kerusi parlimen berkenaan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat sendiri oleh Ismail tanpa dipengaruhi mana-mana pihak selepas namanya digugurkan Barisan Nasional (BN) Pahang untuk bertanding di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)
“Ada pihak tertentu, bila orang masuk parti dia, boleh pula, tapi bila masuk parti kami, kami pula dipersoalkan.
“Kehadiran Ismail diterima PN dengan hati terbuka sekali gus memberi dokongan yang sepenuhnya untuk menghadapi PRU15.
“Lagipun, Ismail adalah sahabat kami, PAS dengan Umno pun tak ada masalah (sebelum ini) kerana bersama dalam Muafakat Nasional (MN), dan kita (Bersatu) pun ada menerima undangan (menyertai MN), cuma tak kesampaian,” katanya dalam sidang media di Kuantan, petang tadi.
Sidang media itu diadakan bagi menjelaskan kewajaran PN Pahang memberi laluan kepada Ismail bertanding di kerusi parlimen Maran walaupun pada awalnya kerusi itu diperuntukkan kepada PAS.
Saifuddin berkata kesediaan Ismail menyertai gabungan itu juga bakal memberikan ramuan terbaik untuk ditawarkan kepada pengundi di Maran.
“Dengan kepimpinan yang sedia ada di Maran itu nanti, ia adalah gandingan cukup mantap di mana seorang bekas ahli parlimen, dua orang penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala seorang muka baru,” katanya lagi.
Parlimen Maran mempunyai tiga kerusi DUN, iaitu DUN Luit, Chenor dan Kuala Sentul.
Kerusi DUN Luit dan Chenor dimenangi PAS dalam PRU14, manakala kerusi DUN Kuala Sentul pula dimenangi calon Umno, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Shahaniza adalah Ketua Umno Maran dan dipilih sebagai calon BN Pahang untuk kerusi parlimen Maran, menggantikan Ismail dalam pilihan raya umum kali ini. – Malaysiapost