Shahidan, Ismail bakal dikenakan tindakan – Mahdzir Khalid
PEMIMPIN Umno yang bertindak memilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) atas tiket parti atau gabungan lain bakal berhadapan tindakan daripada Lembaga Tatatertib Umno.
Setakat ini dua penyandang kerusi Parlimen daripada Umno sudah disahkan akan bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi mereka selepas digugurkan sebagai calon BN.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata keputusan diambil penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim serta penyandang Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib jelas melanggar perlembagaan Umno dan BN.
“Kepada rakan-rakan yang sudah keluar dan mengikut kepada parti sudah tentulah peraturan yang telah disediakan oleh parti itu, kita kira bahawa semua orang tahu dah peraturan-peraturan yang terkandung atau pun peraturan yang menjadi perlembagaan kepada BN.
“Kita cakap macam itu dulu sebab kita sekarang ini sedang menghadapi pilihan raya tapi semua orang sudah tahu bahawa kedudukan tiap-tiap daripada kita ini, sebab kita adalah ahli BNl dan ahli parti dalam komponen BN, memang jelas melanggari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Program Persembahan Wayang Kulit oleh Masyarakat Siam di Padang Terap, malam tadi.
Mahdzir turut menzahirkan kekecewaan atas tindakan dua pemimpin berkenaan.
Terdahulu Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Ismail yang menjawat jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan diumumkan akan bertanding atas tiket PN pada PRU-15 ini.
Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Majlis Pengisytiharan Calon PN Terengganu bagi PRU-15 di Marang, Terengganu malam tadi.
Sebelum ini, kedua-dua pemimpin Umno yang menang dalam PRU-14 itu digugurkan dari senarai calon mewakili BN seperti yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
BN menamakan Rozabil Abd Rahman sebagai calon di Parlimen Arau manakala Shahniza Shamsudin bagi Parlimen Maran. – Malaysiapost