Smart City Selangor: Jangan jadi ‘jong masuk kuala, anjing masih bercawat ekor’
Afham Hanif
KONSEP Bandar Pintar atau Smart City adalah konsep yang berakar umbi dari pelaksanaan idea untuk pengurusan sumber dan alam bina yang lestari serta mesra pengguna dan menjadi popular di serata dunia pada alaf baru.
Pada masa kini, konsep ini dimajukan dengan perkembangan teknologi yang membolehkan pelaksanaan lebih efisien dan menyeluruh bertujuan meningkatkan fungsi kecekapan dan produktiviti pengurusan sesebuah bandar raya.
Penentu kejayaan pelaksanaan sesebuah inisiatif Smart City adalah bergantung kepada infrastruktur teknologi digital yang digunakan.
Selangor turut mengorak langkah membangunkan inisiatif Smart City Selangor bermula pada tahun 2015 dan menampakkan pembangunannya pada tahun 2020.
Pelaksanaan dan pengurusan Smart City Selangor membabitkan pelbagai pihak daripada kerajaan dan sektor awam kepada sektor swasta dan pemaju, sehinggalah masyarakat setempat itu sendiri dan yang lebih penting adalah penyedia perkhidmatan teknologi komunikasi itu sendiri.
Ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan komitmen dan sumber kewangan yang mencukupi untuk kesinambungan sistem pintar itu. Sekali tersilap percaturan, pasti akan membawa bahana yang tidak tergambarkan.
Masalah mula timbul apabila difahamkan ZTE iaitu proksi rapat Huawei telah dilantik bagi membangunkan teknologi digital 5G di negeri Selangor.
Kita pun sedia maklum, begitu banyak khabar buruk yang telah didedahkan penganalisis komunikasi antarabangsa berkaitan ancaman keselamatan siber yang terpalit dengan Huawei dan negara China.
Amerika Syarikat misalnya, telah menyenaraikan gergasi teknologi China itu di dalam “entity list”. Di mana Huawei disenaraikan sebagai syarikat yang mampu memberi risiko keselamatan terhadap negara Amerika Syarikat.
Malah Amerika juga telah menghalang firma-firma dari negara itu daripada menjual peralatan dan perisian kepada ZTE selama tujuh tahun.
Selain itu kerajaan Jepun dan Australia juga melarang penggunaan produk telekomunikasi buatan gergasi teknologi Huawei dari China dan ZTE, akibat kebimbangan mengenai masalah keselamatan siber.
Malah produk tempatan yang menggunakan komponen atau peralatan keluaran kedua-dua firma dari China itu juga akan dikeluarkan dari perolehan kerajaan.
Perkara inilah yang dikhuatirkan akan berlaku kepada Selangor yang telah pun membuat kerjasama bersama Huawei – ZTE ini.
Risiko keselamatan awam yang tergugat ini seharusnyanya dijadikan penilaian oleh pihak Smart Selangor Delivery Unit yang bertanggungjawab menentukan tender pembangunan insfrastrukur teknologi 5G di Selangor.
Pada zaman data adalah kuasa, pengurusan pangkalan data peribadi dan keselamatan seharusnya tidak diserahkan kepada entiti yang berisiko memanipulasi keadaan.
Tambahan pula, rakyat Selangor yang berdepan dengan ancaman pencerobohan data peribadi akan hidup dalam kerisauan kerana tiada kepastian sejauh mana data peribadi mereka akan dimanipulasi.
Lantikan Huawei dengan kerjasama ZTE untuk pembangunan Smart City Selangor adalah satu keputusan yang membimbangkan.
Selepas pelancaran nasional untuk pembangunan 5G diputuskan dengan kerjasama DNB-Ericsson tahun lalu, Huawei dan konglomerat teknologi China sudahpun disenarai hitam kerana faktor keselamatan siber dan pencerobohan data peribadi.
Sememangnya kini adalah masa yang sesuai untuk menjayakan inisiatif Smart City apatah lagi pelancaran 5G pada peringkat nasional sudah meluas.
Rakyat pastinya akan menikmati banyak kemudahan serba canggih. Bagaimanapun, tanpa sebarang niat prejudis, projek yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat Selangor ini dikhuatiri akan menemui jalan buntu akibat keterbatasan kerjasama yang boleh dilakukan antara Huawei dengan pemaju lain seperti Ericsson, Google, dan Nokia untuk kesalinghubungan projek tempatan dengan jaringan yang lebih besar, terutama pada peringkat antara negeri.
Apa yang lebih merisaukan, inisiatif Smart City Selangor ini akan menjadi umpama “jong masuk kuala, anjing masih bercawat ekor” yang mana pembangunan secanggih mana pun yang dibangunkan ini, ia tetap akan berdepan masalah besar dalam memberi manfaat signifikan kepada rakyat Selangor.- Malaysiapost
Penulis merupakan mahasiswa yang juga pemerhati pembangunan digital
(Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)