Terpulang kepada Ismail nak bertanding atas tiket PN – Wan Rosdy
Ben Ibrahim
UMNO Pahang tidak menghalang penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Mutallib untuk bertanding bagi mewakili parti Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata semua calon berhak bertanding berasaskan prinsip demokasi menerusi parti pilihan masing-masing.
“Kita tidak boleh halang sebab beliau (Ismail) dicalonkan pemimpin tertinggi (PN), terpulanglah, kita tidak boleh buat apa sebab kita demokrasi.
“Kita tidak boleh menghalang kerana beliau rasa beliau layak mempertahankan kerusi Parlimen Maran yang disandang itu, “katanya.
Menteri Besar Pahang itu berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Dan Penyerahan Tapak Projek Penternakan Ayam Felcra di Sungai Damak, dekat Lipis, hari ini.
Beliau bagaimanapun yakin Umno Maran sudah bersedia untuk mempertahankan kerusi tradisi Umno itu.
“Saya yakin BN akan memenangi kerusi Maran serta di kawasan lain menerusi calon dipilih pucuk pimpinan parti,” katanya lagi.
Semalam media melaporkan Ismail memilih untuk bertanding semula di parlimen Maran atas tiket PN selepas beliau digugurkan sebagai calon BN di kawasan berkenaan.
Perkara itu diumumkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam satu majlis di Marang, Terengganu.
BN Pahang mencalonkan Ketua Umno Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin bertanding di kerusi parlimen Maran untuk PRU15 ini. – Malaysiapost