Tipu dan fitnah cara PH, PN nak menang PRU15 – Puad
PAKATAN Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai dua cara sahaja untuk menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu dengan menabur fitnah dan janji, kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Namun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, setakat ini kedua-dua parti berkenaan masih hilang punca dan gagal untuk mencari fitnah dan propaganda bohong yang berkesan.
“Akibatnya di saat akhir ini mereka guna cara kedua iaitu janji. PH masih lagi berjanji pasal tol. Awalnya berjanji akan hapuskan semua tol jika PH menang PRU15,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, menerusi manifesto PRU15, PH berjanji untuk megurangkan tol secara berperingkat.
“Pengurangan tol 18% masa PH memerintah dijadikan kebanggaan. Tetapi PH bohong. PH sembunyi fakta.
“Walaupun kadar tol turun 18% tetapi tempoh konsensi tol yang patut tamat tahun 2038 hanya akan berakhir pada tahun 2058. Bermakna tambah 20 tahun lagi. Itulah cara PH. Terus menipu,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berjanji tol di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) akan dimansuhkan sekiranya PH diberi mandat membentuk kerajaan selepas PRU15.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, semasa menerajui kerajaan selama 22 bulan selepas menang PRU14 pada 2018, PH telah mengurangkan bayaran tol untuk lebuh raya itu sebanyak 18 peratus.
Guan Eng menegaskan PH ‘boleh memansuhkan tol’ di lebuh raya jika diberi tempoh mentadbir selama lima tahun lagi. – Malaysiapost